Kaedah komunikasi ini ternyata boleh membantu namun apa yang penting, ia perlu difahami dan dipraktikkan secara konsisten.
Kebiasaannya budaya berkomunikasi di rumah mungkin hanya membabitkan arahan daripada ibu bapa sedangkan si anak hanya mendengar tanpa diberi peluang meluahkan pandangan sendiri.
Lama-kelamaan, tidak mustahil ia hanya meningkatkan jurang perhubungan antara ibu bapa dan anak di rumah. Apapun belum terlambat kerana ia boleh dibendung sejak awal lagi.
Menurut Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Prince Court, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, kebanyakan ibu bapa berasa mereka mempunyai kemahiran berkomunikasi yang bagus dengan anak, tetapi ternyata kesibukan kerjaya adakalanya membuatkan komunikasi kian berkurangan.
Komunikasi bukan saja mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh anak kerana jika itu yang berlaku, ia boleh dianggap membesarkan anak secara ‘diktator’.
Malah, jika ibu bapa terlalu melindungi anak, ia juga boleh mengakibatkan kesan yang tidak baik terhadap perkembangan keyakinan diri anak.
“Bayangkan dengan menetapkan setiap perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan anak, kebolehupayaan kendiri serta perkembangan mental dan fizikal si anak juga akan tersekat.
“Ibu bapa perlu menetapkan had untuk perkara terbabit, bukan ‘melaksanakan’ semua perkara hingga mengongkong kebolehan anak untuk berkembang,” katanya ditemui, baru-baru ini.
Selain itu, kesibukan kerjaya ibu dan ayah juga adakalanya turut memberikan kesan kepada bentuk komunikasi di rumah.
Dr Nor Hamidah berkata, disebabkan faktor ini juga masa anak lebih banyak terluang bersama pembantu rumah atau di pusat jagaan harian hinggakan hubungan yang seharusnya erat terjalin antara ahli keluarga seolah-olah ada jurang pemisah.
“Walaupun ibu bapa berada di rumah, anak ini lebih gemar menyendiri dan melakukan hal masing-masing kerana bagi mereka sudah bersua muka pun sudah memadai.
“Untuk mengelakkan keadaan ini bertambah parah, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengeratkan kembali hubungan antara mereka sebelum terlambat,” katanya.
Menurutnya, tidak kiralah berkomunikasi dengan sesiapa saja termasuk dengan anak sendiri, ia sememangnya memerlukan teknik dan cara yang betul.
Hal ini penting agar nasihat serta pesanan ibu bapa itu dapat diterima dengan baik oleh si anak.
Malah, kemahiran berkomunikasi amat penting ketika berhadapan dengan anak remaja kerana pada peringkat umur ini mereka selalunya lebih agresif dan mempunyai pendapat sendiri.
Oleh itu, ibu bapa perlu mengenal diri sendiri serta memperbaiki kekurangan yang ada ketika berkomunikasi dengan anak remaja.
“Kebiasaannya masalah dalam berkomunikasi berlaku disebabkan ibu bapa kurang memahami perasaan si anak. Justeru, tingkatkan kemampuan dan cuba memahami perasaan anak sebagai lawan dan kawan berbicara.
“Perasaan juga memainkan peranan penting ketika berkomunikasi. Ini kerana jika kita gembira, ia akan memudahkan sesiapa saja untuk berbicara atau meluahkan perasaan,” katanya.
Bagi memastikan hubungan kekeluargaan itu kekal erat sepanjang masa, si ibu perlu memainkan peranan sebagai ‘duta pengaman’ dan mencari jalan untuk memupuk dan mengisi kembali kekosongan dalam perhubungan sesama ahli keluarga.
Ini kerana lebih daripada 90 peratus individu lebih dekat dengan ibu mereka berbanding si ayah. Gerak hati dan kasih sayang ditonjolkan ibu lazimnya lebih lembut dan mesra sekali gus memberikan rasa selamat kepada anak.
“Walaupun tidak dinafikan golongan ibu kini ramai yang berkerjaya, kesibukan kerja tidak membataskan perhubungan mereka dengan si anak.
“Mereka perlu membuka ruang untuk terus memupuk semangat kekeluargaan dan mengeratkan kembali perhubungan dalam pelbagai situasi,” katanya.
Terdapat beberapa cara berkomunikasi dengan anak untuk membina bentuk komunikasi berkesan tanpa mengira peringkat usia anak. Antaranya:
Jadi pendengar yang baik.
Cuba menjadi pendengar yang teliti terutama dalam apa yang ingin diperkatakan si anak. Ia amat penting kerana si anak akan bercerita melalui perspektif mereka.
Pada saat ini, ibu bapa perlu berhenti menilai serta menunjukkan rasa hormat dan minat dalam apa yang ingin disampaikan dalam perbualan.
Ini juga akan membuatkan si anak bersedia meluahkan perasaan mereka dan secara tidak langsung mencambah kepercayaan mereka terhadap ibu bapa.
Tip untuk berkomunikasi dengan anak remaja:
Anime4nz : Fahami perasaan anak - Hadkan perkara - Bukan 'melaksanakan' semua perkara.
No comments:
Post a Comment