Fakta menunjukkan kecederaan kanak-kanak di rumah adalah antara punca utama kematian kanak-kanak. Menurut kajian yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Rumah di Amerika Syarikat, hampir 21 juta lawatan berjumpa doktor dan 20,000 kematian setiap tahun berpunca daripada kemalangan di rumah.
Antara kemalangan yang direkodkan bukan saja di luar negara malah sering dilaporkan di negara ini ialah kecederaan akibat digigit binatang peliharaan, mati akibat tercekik makanan atau objek asing serta hilang selepas keluar bersendirian apabila pintu dibiarkan terbuka.
Sepanjang proses membesar, kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi menyebabkan mereka sangat aktif dan gemar mengusik segala benda yang ada termasuk alatan yang mungkin berbahaya kepada mereka.
Kanak-kanak sebenarnya cenderung untuk mendapat kemalangan kerana mereka tidak faham dengan bahaya yang menanti akibat tindak-tanduk mereka. Apa yang mereka tahu hanyalah mahu bermain dan berseronok dengan pelbagai barang yang ada di depan mata.
Semua barang boleh menjadi bahan mainan kanak-kanak termasuk yang tidak sepatutnya mereka sentuh. Kanak-kanak gemar berimaginasi dan menggunakan bahan yang ada di depan mata mereka untuk membuat ‘penceritaan’ sendiri.
anak memang suka mengusik barangan |
Kebanyakan barang yang ada di rumah mungkin selamat bagi orang dewasa tetapi hampir 95% daripadanya boleh menjadi ‘senjata’ kepada anak-anak kecil yang tidak tahu menggunakan peralatan itu.
Malah barangan yang selamat seperti kusyen juga boleh menjadi bahaya sekiranya ia dijadikan tempat anak melompat-lompat sehingga tergelincir dan jatuh terhentak kepala di lantai atau menggunakannya untuk menekap muka anak yang lebih kecil.
Pendek kata, ibu bapa atau penjaga sebagai orang dewasa perlu buka mata dan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi keselamatan anak masing-masing daripada kemalangan tidak diingini sebelum semuanya sudah terlambat.
Anak-anak harta yang sangat berharga dan tidak mungkin ditukar mahupun diganti dengan yang baru jika kelalaian ibu bapa menyebabkan nyawa anak melayang.
Oleh kerana itu, keselamatan anak perlu diutamakan berbanding semua keperluan lain. Dalam menjaga anak, sifat paranoid penting walaupun mungkin kelihatan berlebihan.
Anime4nz kongsikan beberapa panduan yang boleh diamalkan ibu bapa demi memastikan keselamatan anak mereka sekali gus mengelakkan kecederaan serius.
1. Tidak sesekali meninggalkan anak kecil biarpun sudah pandai berjalan atau berdiri di dalam bilik air bersendirian walaupun untuk tempoh yang pendek.
Ini disebabkan anak-anak boleh lemas walaupun dalam air cetek dengan kedalaman kurang satu inci kerana mereka tidak mempunyai keupayaan untuk menyelamatkan diri sendiri.
Ini menjadikan takungan air dalam tab mandi, sinki, kolam ataupun baldi sangat bahaya. Ibu bapa perlu bersama setiap masa dengan anak-anak ketika memandikan mereka sehingga membawa mereka keluar dan pastikan pintu bilik air sentiasa berkunci. Pastikan juga air tidak ditakung dalam mana-mana bekas supaya kemalangan dapat dicegah.
Jika pintu depan diketuk atau telefon berbunyi, ibu atau bapa perlu membalut anak mereka dengan tuala dan membawa sekali bersama kerana kemalangan boleh berlaku dalam tempoh tidak sampai seminit dan sesalan seumur hidup tidak lagi berguna.
Terangkan juga peraturan keselamatan ini kepada sesiapa yang ditugaskan menjaga anak biarpun untuk sementara.
2. Jauhkan bahan pencuci dan kimia termasuk minyak wangi daripada tempat yang mudah dicapai anak kerana ia boleh menjadi bahaya sekiranya ditelan anak-anak.
Bagi memastikan rumah anda benar-benar selamat untuk anak, cuba berfikir seperti kanak-kanak supaya barangan yang mungkin boleh menarik perhatian mereka diletakkan di tempat tinggi.
Bagi kabinet yang mengandungi barangan pencuci, pasangkan kunci supaya ia tidak boleh dibuka. Selain itu, barangan sedemikian perlu disimpan dalam bekas asalnya dan bukan dipindahkan ke bekas lain bagi mengelakkan kekeliruan.
Tempat yang sememangnya tidak sesuai untuk anak-anak seperti bilik air dan dapur, tutup pintu dengan rapat sepanjang masa.
Kanak-kanak suka meniru apa yang dilakukan ibu bapa mereka, oleh itu sebarang peralatan seperti kosmetik perlu disorok kerana dibimbangi mereka mungkin memasukkannya ke dalam mulut.
3. Barangan berbahaya seperti senjata, mancis, pemetik api atau pisau yang mampu menyebabkan kecederaan teruk, perlu dijauhkan dan disimpan dalam tempat khas yang berkunci.
Kanak-kanak tidak tahu menggunakannya dan barangan yang berguna kepada orang dewasa boleh menjadi pembunuh kanak-kanak apabila ia terkena diri mereka atau anak lain ketika mereka bermain bersama.
Percikan api dari pemetik api mungkin boleh mengagumkan anak kecil tetapi sekiranya ia terkena langsir atau kertas, ia boleh merebak. Selain menyebabkan kerugian harta benda, kanak-kanak juga akan terperangkap dalam situasi yang mampu membunuh itu.
Bagi kanak-kanak yang cukup besar untuk memahami arahan, penerangan mengenai bahaya bermain dengan peralatan seperti itu dan kesannya boleh diberikan secara terperinci, walaupun ia tetap perlu disorok supaya risiko kecederaan dapat diminimumkan.
4. Bagi bayi, tempat tidur mereka perlu berada dalam keadaan kosong yang mungkin hanya mengandungi tilam atau satu bantal untuk kepala. Jangan letakkan selimut atau patung di dalamnya kerana dikhuatiri bayi bergerak dan muka mereka tertutup dengan barangan tadi hingga menyebabkannya tidak dapat bernafas.
Kes kematian secara mengejut bayi akibat lemas juga sering dilaporkan dan risiko ia berlaku kepada anak anda harus dikurangkan dengan cara hanya meletakkan keperluan asas dalam katil bayi.
Mulut dan hidung bayi boleh tertutup secara tidak sengaja oleh gerakan mereka sendiri dan mereka tidak berupaya untuk menolak barang yang menutup muka mereka.
Sekiranya hendak memakaikan selimut, ia perlu berada di bawah paras dada dan diselit secara ketat di tepi katil namun lebih baik sekiranya anak dipakaikan baju tebal dan stokin, seterusnya mengurangkan keperluan selimut.
5. Ibu bapa juga perlu membuang beg plastik yang tidak digunakan dan jangan biarkan ia di merata-rata tempat kerana anak boleh bermain dengannya dan secara tidak sengaja menutup muka sendiri hingga tidak boleh bernafas.
Kereta juga perlu dikunci dan kunci disorok jauh daripada anak bagi mengelak kanak-kanak yang sudah pandai berjalan dan aktif, masuk ke dalam kereta dan menghidupkannya secara tidak sengaja.
Jangan menyimpan peti ais atau mesin basuh lama yang sudah tidak digunakan supaya anak-anak tidak boleh menggunakannya untuk bermain sorok-sorok, kemudian tidak tahu pula cara membukanya dari dalam.
6. Tutup semua suis elektrik yang tidak digunakan dengan penutup plastik supaya anak boleh dilindungi daripada kejutan elektrik yang sememangnya boleh menyebabkan maut.
Betulkan atau buang mana-mana barangan elektrik atau wayar yang sudah rosak supaya ia tidak dapat mengalirkan elektrik kepada sesiapa yang menyentuhnya.
Lebih baik, jauhkan barangan elektrik daripada kanak-kanak.
Apabila menggunakan barangan elektrik seperti cerek air, letakkan wayar elektrik ke dalam dan jangan biarkan ia berjuntai kerana kanak-kanak boleh menariknya hingga melecur akibat terkena air panas.
Ibu bapa juga perlu mengelak menggunakan pengering rambut atau radio berdekatan takungan air bagi mengelak ia terjatuh masuk ke dalam air seterusnya menyebabkan renjatan elektrik.
7. Anak kecil sering berisiko untuk tercekik objek atau makanan kecil sehingga tidak dapat bernafas, jadi jauhkan dari tempat yang mudah dicapai sebaliknya makanan perlu diberi hanya dengan pemantauan ibu bapa.
Pastikan semua objek kecil seperti butang, syiling dan aksesori disimpan di tempat khas. Mainan dalam saiz kecil dan tidak bersesuaian dengan umur anak juga perlu dielak.
Jangan benarkan anak bermain dengan beg duit atau beg tangan anda kerana barangan kecil di dalamnya boleh menjadi bahaya kepada kanak-kanak.
8. Sentiasa pastikan tingkap dan pintu ditutup rapat serta dikunci selain memastikan tangga diletakkan pagar jika anak kecil berada di rumah. Ini bagi mengelak anak memanjat tangga dan terjatuh hingga mengalami kecederaan dalaman.
Cedera akibat terjatuh tangga adalah antara yang paling biasa berlaku pada kanak-kanak, oleh itu lakukan pencegahan sebelum terlambat.
Jangan galakkan anak-anak bermain berhampiran tingkap terutama sekiranya ia tidak ditutup rapi kerana kanak-kanak boleh meloloskan diri melalui lubang kecil di tingkap menyebabkan mereka berisiko jatuh terutama bagi rumah yang berada di tingkat tinggi seperti pangsapuri.
Pastikan tangga kosong dan tidak dipenuhi barangan yang boleh menyebabkan anak terlanggar dan terjatuh.
9. Ibu bapa juga perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan kemalangan termasuk mempelajari teknik hembusan dari mulut ke mulut (CPR) dan membantu mengeluarkan objek tercekik melalui teknik Heimlich.
Kotak yang mengandungi ubat penting juga perlu disediakan dengan arahan kecemasan perlu ada di setiap rumah. Selain itu, nombor bantuan yang penting juga perlu ditampal di tempat yang mudah dilihat.
Antaranya ialah nombor telefon pusat kawalan racun, doktor kanak-kanak, tempat kerja anda, telefon bimbit anda serta jiran atau saudara terdekat supaya jika berlaku sebarang perkara tidak diingini, tindakan pantas dapat diambil.
Sebaik anak sudah boleh mengingati nama mereka sendiri, ajar mereka untuk menghafal nombor kecemasan dan alamat rumah.
Anime4nz : Ibu bapa perlu sentiasa 'buka mata' agar anak dijauhi dari kemalangan tidak diingini.
No comments:
Post a Comment