Beriman dengan hari kiamat termasuk salah satu rukun iman yang wajib diyakini oleh setiap orang Islam. Ia bukan semata-mata ajaran Nabi Muhammad SAW, bahkan ajaran semua nabi-nabi sebelum baginda termasuk ajaran umat Yahudi dan Kristian. Justeru tidak hairan apabila ada filem Barat yang menggambarkan hari kiamat persis disebutkan oleh al-Quran dan Sunnah Nabi.
Ramalan-ramalan hari kiamat
Banyak ramalan dibuat mengenai tarikh sebenar hari kiamat. Antaranya oleh Michael Notradamus dari Perancis. Beliau mendakwa kiamat akan berlaku pada tahun 2012. Sebilangan pengkaji menyatakan beliau sebagai seorang ahli falsafah, namun yang benar beliau ialah seorang ahli sihir dan pengamal ilmu hitam yang dikehendaki oleh pemerintah pada ketika itu. Bahkan beliau meramal sendiri hari matinya pada tahun 1566, dan dengan takdir Allah ramalan itu berlaku. Notradamus terpaksa mencatatkan ramalan-ramalan itu dengan bahasa dan kod yang misteri supaya tidak dikesan oleh pemerintah.
Dalam khazanah Islam juga pernah muncul ramalan berlakunya hari kiamat. Seorang sarjana Islam terkemuka pernah menyatakan umur dunia tidak akan melebihi 1500 tahun (mengikut kiraan kalender Hijrah). Namun setelah diteliti semula, ia menyalahi petunjuk Al-Quran dan Sunnah. Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyah hujah ini berdasarkan sandaran hadis yang mauduk atau palsu (Barzakh & Kiamat, terbitan Karya Bestari).
Hanya Allah yang tahu
Metod yang benar di sisi umat Islam ialah kembali kepada Yang Maha Mengetahui iaitu Allah Azza Wajalla. Ini ditegaskan dalam Surah al-Ahzab ayat 63,
“Manusia ditanya kepadamu tentang hari kiamat. Katakanlah, ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu hanya di sisi Allah’. Dan tahukah kamu (wahai Muhammad), boleh jadi hari kiamat itu sudah dekat waktunya.”
Jika benar ada manusia yang mengetahui tarikh kiamat, tentulah Nabi Muhammad SAW yang paling layak untuk mengetahuinya. Dalam catatan sejarah, Nabi Muhammad tidak pernah meramalkan bila datangnya hari kiamat. Apa yang Nabi tahu dan itu pun tentu berdasarkan wahyu bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat. Ini berdasarkan hadis;
“Sebaik-baik hari yang terbit matahari adalah Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam. Pada hari itu juga dimasukkan ke syurga dan pada hari itu juga dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah terjadi hari kiamat kecuali pada hari kiamat.” (Hadis Muslim)
Manakala dalam satu peristiwa lain, Nabi pernah ditanya tentang hari kiamat,
Sahabat Nabi bernama Abu Hurairah (semoga Allah redha kepada beliau) menceritakan pada suatu hari seorang lelaki Arab Badui datang bertanya kepada Nabi, “Bilakah hari kiamat?” Ketika itu Nabi sedang berucap, dan tidak mengendahkan soalan itu. Namun setelah tamat berucap Nabi berkata, “Manakah orang yang bertanya tentang hari kiamat tadi?” Lelaki itu berkata, “Aku wahai Rasul Allah”. Nabi menjawab, “(Kiamat akan datang) Apabila amanah telah disia-siakan”. Orang itu bertanya lagi mendapatkan penjelasan, “Bagaimanakah mensia-siakan amanah itu?”. Nabi menjawab, “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” (Maksud Hadis Bukhari dan Ahmad)
Bukan sahaja Nabi Muhammad, bahkan para malaikat termasuk Israfil tidak mengetahui bilakah detik dan ketika itu. Walhal, Israfil ditugaskan untuk meniup trompet sangkakala ketika terjadinya kiamat. Sehingga Nabi menyatakan malaikat Israfil tidak mengedipkan matanya sejak ditugaskan memegang trompet sangkakala menanti perintah Allah,
“Sesungguhnya pandangan pemilik trompet sangkakala (malaikat Israfil) sejak dipasrahkan kepadanya telah bersedia melihat ke Arasy, khuatir ia diperintahkan sebelum sempat mengedipkan matanya seakan-akan kedua matanya adalah dua bintang yang menyala-nyala.” (Hadis sahih daripada Al-Hakim)
Dalam satu hadis yang lain pula Nabi menjelaskan,
“Bagaimana boleh aku berasa tenteram dan tenang, sementara Malaikat Israfil telah meletakkan trompet ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya...” (Hadis sahih daripada Imam Tirmizi)
Hikmah rahsia hari kiamat
Hikmah Allah merahsiakan hari kiamat kepada seluruh maklum, sama seperti hikmah Allah merahsiakan waktu kematian bagi setiap manusia. Bahkan kematian juga disebut sebagai ‘kiamat kecil’ bagi manusia.
Pengarang Tafsir Ruhul Ma’ani, Imam Mahmud Syukri Al-Alusi (w. 1270 H) menyatakan satu dari hikmah dirahsiakan hari kiamat ialah, “menjadi pendorong kepada manusia untuk sentiasa beribadah dan menghalang daripada melakukan maksiat.”
Oleh yang demikian itu, setiap kali umat manusia melihat tanda-tanda kiamat sudah wujud, mereka pun berasa takut terhadap kiamat dan huru-haranya. Keimanan mereka pun bertambah dan akan segera mempertingkatkan amal soleh.
Nabi pernah berpesan, “Bersegera melakukan amal soleh sebelum tiba enam perkara, iaitu terbitnya matahari dari barat, keluarnya asap, munculnya binatang melata (ad-dabbah), kematian atau hari kiamat.” (Hadis Muslim)
Tanda-tanda hari kiamat
Seperti mana umat Islam wajib meyakini adanya hari kiamat, begitu juga kita wajib beriman dan meyakini tanda-tanda akan berlakunya hari kiamat. Tanda-tanda kiamat telah dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah.
Sarjana Islam Al-Allamah Safarini (w. 1188) menjelaskan, “Tanda-tanda hari kiamat itu terbahagi kepada tiga bahagian ; satu bahagian telah nampak dan berlaku, satu bahagian sedang berlangsung dan satu lagi belum tiba. Di antara tanda bahagian pertama seperti diutusnya Nabi Muhammad SAW, kematian Nabi, penaklukan Baitul Maqdis serta pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan (semoga Allah redha kepada beliau).
Tanda-tanda lain, ialah peperangan yang terjadi antara kaum Muslimin, munculnya golongan sesat seperti Khawarij (golongan yang memberontak terhadap pemerintah) dan Rafidhah (Syiah), keluarnya para dajjal yang mengaku nabi, runtuhnya kerajaan Arab, harta yang melimpah, banyaknya terjadi gempa dan gerhana, serta hal-hal lain yang dikhabarkan oleh Nabi sebagai tanda-tanda hari kiamat”. (Al-Irsyad Ila Sahihil Iktikad Sudah Benarkan Akidah Kita, Dr Soleh Fauzan Al-Fauzan).
Ahli ulama klasik mahupun kontemporari sudah menulis buku yang khusus merinci peristiwa kiamat dan tanda-tandanya, antaranya ialah Al-Hafidz Ibnu Kathir dengan bukunya berjudul an-Nihayah (Huru-Hara Hari Kiamat).
Manakala kalangan penulis kontemporari ialah Syaikh Yusuf al-Wabil, (Asyratus Sa’ah : Hari Kiamat Sudah Dekat), Dr Umar Sulaiman Asyqar (Al-Yaumul Akhir : Ensiklopedia Hari Kiamat) dan buku Barzakh & Kiamat selenggaraan Sakinah Ariff Johor (Karya Bestari).
Satu kepentingan mengetahui tanda-tanda kiamat supaya umat Islam berusaha untuk tidak terlibat atau berperanan dalam menyemarakkan tanda-tanda kiamat itu.
No comments:
Post a Comment