Walau apa pun genrenya dari novel ke falsafah, agama, ekonomi, sastera dan pelbagai lagi, tidak dinafikan ilmu yang diperolehi begitu besar sehingga ia mampu mengubah dunia. Malah ada yang menggelar buku adalah kuasa.
Sesungguhnya jasa buku terlalu banyak dalam kehidupan manusia sehinggakan tidak keterlaluan untuk menyatakan kehidupan kita sekarang ini yang jauh lebih baik berbanding 5, 50, 500 atau mungkin 5000 tahun dahulu adalah hasil usaha dari buku-buku yang dihasilkan manusia sendiri.
Bersesuaian dengan perubahan zaman, kita sendiri boleh menyaksikan bahawa semakin banyak buku yang dihasilkan maka semakin maju tamadun manusia.
Maka seharusnya semakin maju tamadun itu pastinya semakin bijak atau cerdik manusia itu sendiri. Namun bagaimana manusia itu menggunakan kebijaksanaan itu adalah satu perkara lain kerana kebijaksanaan itu tidak membawa maksud mereka tidak akan lari daripada melakukan kesilapan.
Bagaimanapun dari satu sudut, terdapat juga buku yang nilainya hanya layak dicampak ke tong sampah kerana isi kandungannya yang keterlaluan sifatnya seperti pengisahan kisah lucah, pornografi, pembohongan dan pelbagai lagi.
Namun secara umumnya terlalu banyak buku yang mempunyai nilai dan faedah yang tinggi pengetahuannya, yang mampu membuka minda dan kepompong pemikiran kita ke arah yang lebih baik.
Jadi secara umumnya, manusia itu akan berkelakuan lebih baik dan berhemah jika mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi hasil dari pembacaan buku yang pelbagai.
Impak
Namun bagaimana pula maknanya menjadi seorang penggila buku. Sama ada kita sedar atau tidak sejak abad ke 19 dan kini memasuki abad ke 20 terlalu banyak impak yang memberi signifikan nyata melalui ilmu pengetahuan yang diperoleh dari buku-buku yang dihasilkan.
SEBUAH kedai buku yang dihias dengan penuh kreatif mampu menarik pembaca dari pelbagai golongan dan latar belakang. |
Alasannya mudah kerana melalui pembacaan selain pembelajaran, maka seseorang akan cuba mencari kebenaran, maka beliau perlu lebih lagi membaca dan akhirnya akan menulis pula buku mengenai kebenaran yang dijumpainya.
Berkembang
Sebagai contoh bagi mereka yang gemar membaca buku mengenai perundangan atau ekonomi. Sudah terlalu banyak buku mengenai dua bidang ini ditulis dan ia akan berterusan ditulis mungkin sehingga kiamat.
Rata-rata mereka yang menulis mengenai perkara ini pernah membaca karya penulis lain dan ia semakin berkembang melalui pemahaman yang diperolehi.
Namun tidak ada satu pun buku yang boleh kita tafsirkan sebagai paling betul kerana ia akhirnya dinilai berdasarkan kesesuaian dan kehendak. Paling tidak pun ia membantu kita dalam beberapa urusan yang berkaitan namun seperti mana ilmu itu sendiri ia akan senantiasa berkembang tanpa ada batasan.
Dalam memperihalkan mengenai kaki buku, mereka ini boleh kita katakan antara insan terpilih kerana bukan semua di antara kita mampu untuk menjadi seperti mereka.
Bayangkan mereka ini umpama perpustakaan bergerak kerana hampir semua persoalan mampu dijawab secara spontan tanpa perlu dirujuk pada mana-mana buku dan orang tertentu terlebih dahulu.
Bibliomania
Namun menurut definisi Barat, kaki buku atau digelar sebagai bibliophilia yang maksudnya gemar membaca, mengagumi dan mengumpul buku.
Namun jangan tersilap antara bibliophilia dan bibliomania kerana maksud perkataan ini lebih kepada penyakit dihidapi seseorang yang begitu menggilai buku secara keterlaluan sehingga mungkin boleh membahayakan diri dan orang lain.
Walaupun sukar untuk kita menerimanya namun menurut Dr. John Ferriar yang mengkaji bidang ini, secara psikologinya mereka ini tidak merbahaya tetapi mungkin boleh bertindak di luar batasan jika buku yang dimahukan terpaksa direbut dengan orang lain.
Selain bibliomania terdapat beberapa penyakit lain yang berkaitan dengan gila buku antaranya bibliophagy yang dikaitkan dengan seseorang yang sanggup makan buku, bibliokleptomania iaitu seseorang yang mencuri buku secara kerap dan bibliotaphy yang berkaitan dengan kegilaan seseorang yang sanggup menanam buku.
Penyakit
Antara mereka yang pernah dikaitkan dengan penyakit-penyakit di atas adalah Stephen Carrie Blumberg yang pernah ditangkap kerana memiliki buku curi sebanyak 23,600 naskah.
Lebih hebat lagi buku-buku ini dicuri di lebih 268 muzium dan universiti di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada dan hampir kesemuanya adalah koleksi buku yang sangat jarang dilihat dan begitu berharga.
Blumberg yang ditahan pada 1990 telah dijatuhkan hukuman penjara 71 bulan dan denda AS$200,000 (RM600,000). Lebih mengagumkan nilai buku yang dicurinya mencecah AS$5.3 juta (RM15.9 juta) dan dianggap sebagai kecurian buku paling besar dalam sejarah dunia.
Satu lagi contoh bibliomania adalah Sir Thomas Phillipps (1792 - 1872) yang memiliki lebih 160,000 koleksi buku dan manuskrip. Berasal dari keturunan bangsawan namun akhirnya beliau sekeluarga terpaksa hidup berhutang keliling pinggang kerana terlalu gilakan buku-buku lama.
Termuda
Dunia pernah dikejutkan apabila seorang wanita berusia 18 tahun telah mencipta sejarah sebagai profesor termuda dunia pada 2008. Alia Sabur yang berasal dari New York dilantik menjadi profesor matematik di Universiti Konkuk di Seoul, Korea Selatan tetapi hanya kekal di sana selama setahun.
Namun satu perkara menarik tentang beliau adalah kegilaannya membaca sejak dari kecil malah dikatakan mula membaca sejak berusia lapan bulan! Alia mengakui gemar membaca namun lebih meminati bidang matematik sejak kecil. Selain mempunyai wajah yang jelita beliau juga berjaya memperoleh tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri Tae Kwan Do hanya pada usia lapan tahun.
Kegilaan
Antara nama-nama besar lain yang dikenali dengan kegilaan mereka terhadap buku adalah bekas Presiden AS seperti Thomas Jefferson, ahli falsafah terkenal Adam Smith, bekas Perdana Menteri United Kingdom William Ewart Gladstone dan pencipta watak James Bond, Ian Fleming, sekadar menyebut beberapa nama.
Selain itu terdapat juga kelab bagi mereka yang gilakan buku seperti Oxford University Society of Bibliophiles yang ditubuhkan pada 1950, Caxton Club yang diasaskan pada 1895 di Chicago, The Club of Odd Volumes yang diasaskan pada 1887 di Boston dan Grolier Club yang ditubuhkan pada 1884 di New York City.
Namun bersesuaian dengan zaman, mungkin buku akan hanya tinggal naskah lusuh tetapi mempunyai nilai tinggi dan berharga dengan kehadiran gajet buku canggih seperti eBooks, iPad dan kindle.
Namun waima apa pun kegilaan terhadap buku ini tidak akan mati tanpa mengira zaman walaupun ia sekadar peralatan canggih yang berfungsi di hujung jari.
No comments:
Post a Comment