14/06/2011 12:01pm
KUALA LUMPUR 14 Jun – Penghuni di beberapa buah bangunan yang mempunyai ketinggian lebih lapan tingkat di sekitar ibu negara hari ini panik apabila merasai dua gegaran iaitu kira-kira pukul 8 dan 11 pagi.
Sekurang-kurangnya 10 lokasi terlibat dikenal pasti dan antaranya di Pekeliling, Wangsa Maju, Jalan Sultan Ismail, Bangsar, Salak Selatan, Bukit Bintang dan Putrajaya.
Gegaran berpunca daripada dua gempa bumi bermagnitud 5.5 dan 5.6 skala Richter yang berlaku di Sumatera Utara pada pukul 8.08 dan 11.01 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pertama pada pukul 8.23 pagi.
Menurutnya, berikutan itu, bangunan seperti Menara Dion dan Kenanga di Jalan Sultan Ismail serta Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) dekat Bangsar telah diperiksa sebanyak dua kali untuk tujuan keselamatan. - Utusan
14/06/2011 8:33pm
KUALA LUMPUR 14 Jun – Gempa bumi lemah berukuran 4.0 pada skala Richter menggegarkan daerah Tongod, Sandakan, Sabah pada pada pukul 5.21 petang.
Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, gempa itu berpusat di 5.3km utara, 117.3km timur dan 76km dari barat daya Beluran, Sabah.
Tiada gegaran dirasai di tempat-tempat lain akibat gempa itu, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.
Beberapa kawasan di sekitar ibu negara, Putrajaya, Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan dilaporkan mengalami gegaran pagi ini ekoran insiden gempa bumi yang berlaku di Sumatera Utara, Indonesia.
Gempa bumi bermagnitud 5.5 pada skala Richter di Sumatera Utara dikesan pada pukul 8.08 pagi ini, manakala gempa bumi kedua bermagnitud 5.7 dilaporkan berlaku pada 11.01 pagi. – Bernama
No comments:
Post a Comment