Mengekalkan pelakon kegemarannya, Johnny Depp sebagai teraju animasi berdurasi satu jam 48 minit ini, Verbinski berjaya menampilkan satu lagi karakter yang berpotensi memikat jiwa pengikut setia karyanya.
Rango seekor sesumpah yang tidak bernama dan hidup dalam kesunyian. Bertemankan ikan mainan dan cebisan patung dalam sebuah akuarium, sesumpah hijau bermata besar ini menghilangkan rasa bosan dengan mempotretkan diri sebagai hero manakala teman mainannya sebagai pelakon pembantu.
Rango mula mengenali erti kehidupan sebenar apabila dia terdampar di sebuah padang pasir yang gersang. Takdir menemukannya dengan Dirt, sebuah penempatan yang penduduknya terdesak mendapatkan bekalan air.
Memperkenalkan diri sebagai Rango, si hero yang berjaya menundukkan sekumpulan penjenayah kejam, dia diangkat oleh Datuk Bandar menjadi penguasa undang-undang di kawasan itu.
Animasi ini bukan seperti yang biasa kita tonton. Bermula dengan monolog Rango mengenai identitinya dan rakannya, penonton boleh merasai kelainan yang cuba ditonjolkan Verbinski.
Kembara Rango yang berdepan cabaran sukar makin menarik apabila kemuncak naratif menyaksikan ia bersaing dengan ular orok-orok paling digeruni penghuni Dirt iaitu Jake.
Tarikan utama filem ini selain visual sinematografi, tidak lain tidak bukan aksi pertempuran. Paling meninggalkan kesan aksi Rango dan pengikutnya dikejar penjenayah yang menunggang kelawar, begitu juga aksi ganas serta pergerakan Jake yang mendedahkan identiti sebenar Rango.
Syarikat Industrial Light & Magic yang bertanggungjawab terhadap kesan efek khas dan CGI kepada terbabit dengan filem Star Wars dan Terminator 2 satu pilihan tepat.
Hasil kerja pasukan syarikat berkaliber itu sungguh teliti hingga mampu membuat penonton terpesona dengan paparan padang pasir di skrin biarpun itu pembabitan sulung mereka dalam filem animasi.
Cukup sempurna, bagaikan tidak terasa menonton sebuah filem animasi untuk babak Rango berjalan di padang pasir.
DATA
FILEM: Rango
ARAHAN: Gore Verbinski
PELAKON: Johnny Depp, Isla Fisher, Abigail Breslin, Ned Beatty dan Alfred Molina
GENRE: Drama
TAYANGAN: 10 Mac 2011
ULASAN: Shakilawati Abd Rahman(kosmo)
DIEDIT: anime4nz.blogspot.com
No comments:
Post a Comment