Namun pertolongan yang dihulurkan bukanlah bermaksud membeli atau menempah risiko. Ia hanyalah sekadar pertolongan menyambung bayar kenderaan kenalan kerana niat ingin membantu dan sekaligus mendapat kenderaan dengan mudah tanpa melalui urusan dengan pihak berkuasa dan institusi kewangan.
Sebenarnya urus niaga seperti ini hendaklah dielakkan. Terdapat banyak lagi cara lain yang boleh digunakan untuk membantu. Untuk pengetahuan, urus niaga menyambung bayar kenderaan tanpa penukaran hak milik banyak mengundang masalah, terutamanya dari segi penipuan, kemalangan, tuan kenderaan asal meninggal dunia dan juga kecurian.
Walau apapun surat perjanjian yang dilakukan, ianya tidak akan membantu jika berlaku sebarang penipuan. Ini kerana tuan punya kenderaan asal masih lagi mempunyai kuasa mutlak ke atas kenderaan tersebut dan boleh menuntut pada bila-bila masa. Semestinya hak penyambung bayar kenderaan akan terlucut dengan serta-merta.