MARAH ITU SENJATA.
Ia boleh membawa manfaat dan jika tidak dikawal,
Diri juga yang sengsara.
Namun usah gusar, anda sendiri mampu mengawal rasa marah.
SETIAP orang mempunyai sifat marah namun sama ada perasaan itu dapat di kawal sebaiknya atau tidak, ia bergantung kepada individu terbabit.
Cuma kemarahan itu tidak boleh timbul jika tiada sebab, tempat dan waktunya. Apabila kemarahan berlaku tanpa dikawal, ia tidak ubah seperti api yang membakar.
Marah adalah penyakit yang sepatutnya dihindari tetapi ia juga juga perlu dalam keadaan tertentu. Misalnya, seorang suami harus marah jika ahli keluarganya sengaja tidak mahu mengikuti ajaran yang dituntut agama.
Ingatlah, marah itu senjata. Ia boleh membawa manfaat dan sebaliknya memberi kemudaratan jika tidak dikawal. Orang yang bijak dan sabar adalah manusia yang dapat mengawal kemarahannya agar ia membawa manfaat bukan kemudaratan.
Sebelum kemarahan menjadi punca kepada pergaduhan atau perceraian suami isteri, cuba pelajari cara untuk mengawal kemarahan bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk berlaku pada hubungan anda.
Di bawah terdapat beberapa panduan yang mungkin boleh membantu anda mengawal kemarahan agar ia tidak menguasai diri dan minda.
* Tanamkan sifat malu dan serahkan semuanya kepada Allah.
Kita perlu malu kerana Allah memerhatikan segala perlakuan dan tindak tanduk yang dilakukan. Manusia sering lupa pada Allah ketika kemarahan memuncak dan sebaiknya apabila perasaan itu hampir dengan diri, ingatlah Tuhan. Berdoa supaya diselamatkan daripada sifat marah.
* Mengubah posisi.
Jika sewaktu dilanda marah kita dalam keadaan berdiri, seharusnya menukar posisi kepada duduk. Namun, jika kita marah dalam keadaan duduk, berbaring itu lebih baik bagi meredakan kemarahan. Namun, jika marah masih belum reda, ambillah wuduk bagi menenangkan hati yang masih membara.
Sebenarnya, sifat marah itu datangnya daripada syaitan yang dijadikan daripada api. Oleh itu, kita harus ingat api boleh dipadam dengan air.
Apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia hendaklah segera berwuduk kerana air yang disapukan pada anggota berkenaan bukan saja dapat menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan, malah ia juga membantu meredakan kemarahan.
* Minum air kosong
Ketika marah memuncak, minda tidak dapat berfikir. Bagi menenangkan fikiran yang tidak menentu, cubalah untuk mengambil minuman air kosong untuk menyejukkan dalaman diri anda yang sedang membara.
* Fokus pada masalah, bukan perasaan
Mencari kesalahan seseorang yang akan membuatkan kita marah seharusnya dielakkan. Sebaiknya, fokus kaedah untuk mencari jalan penyelesaian.
Kemarahan akan hanya membawa kepada masalah lain sekali gus membuatkan anda mula mengungkit kesalahan lalu termasuk kesalahan yang dilakukan pasangan anda sendiri.
* Jangan mudah membuat kesimpulan
Ketika anda memiliki tanggapan buruk terhadap pasangan terutama membabitkan persepsi negatif, penilaian akan menjadi tidak rasional.
Apa saja yang dilakukan oleh pasangan anda akan dianggap negatif. Justeru, anda perlu menyiasat dan meneliti sebaik mungkin mengenai punca kemarahan.
Ini kerana lelaki dan wanita mempunyai perbezaan dalam keperluan perasaan, pemikiran, pertuturan, pemahaman, reaksi dan cara mencurah kasih sayang.
Perbezaan inilah yang perlu dipelajari agar hubungan erat dan cinta antara suami isteri kekal mekar sepanjang hayat.
* Bersabar
Reaksi marah yang tidak dikawal amat berbahaya kerana membuatkan situasi menjadi sukar. Penting untuk anda bersabar dan berfikir panjang kerana ia akan mengelakkan perbuatan atau percakapan yang menyakitkan hati pasangan.
* Jangan terlalu mengharap
Kadangkala kemarahan terjadi disebabkan terlalu kecewa dengan perkara yang terjadi tidak seindah seperti yang diharapkan.
Namun, keinginan manusia sebenarnya lebih menyukai untuk menetapkan impian yang kadangkala melebihi kemampuan diri atau pasangan.
Justeru, elakkan daripada meletakkan harapan yang tinggi jika anda tahu ia sememangnya tidak dapat dipenuhi oleh pasangan bagi mengelakkan timbulnya perasaan kecewa yang berlarutan sehingga menjadi marah.
* Jangan membabitkan kemarahan dengan sebab lain
Banyak kemarahan terjadi disebabkan masalah lain yang langsung tiada kaitan. Ia berlaku disebabkan seseorang yang tidak dapat mengawal emosi dan gemar mengungkit perkara yang sudah lama berlalu.
Seeloknya, elakkan daripada cuba mengungkit perkara lain yang tidak mempunyai kaitan bagi mengelakkan kemarahan terus berlaku dan sukar dibendung.
* Alihkan kemarahan kepada perkara lain
Setiap manusia mempunyai tahap dan cara mereka melepaskan kemarahan. Ada yang akan bertindak balas serta-merta dengan memaki hamun atau berteriak, melempar barangan dan menangis.
Sebenarnya, ia boleh ditukar kepada cara lain dengan menulis di dalam diari, meluahkan perasaan kepada pasangan apabila kemarahan reda dan membuat aktiviti lain bagi melupakan seketika kemarahan itu sehingga ia beransur menjadi tenang.
* Menilai dengan bertanya kepada diri sendiri
Emosi kemarahan boleh mendatangkan penyakit fizikal. Oleh itu, kita perlu mencari kaedah untuk mengurangkan ketegangan emosi.
Misalnya dengan bertanya kepada diri sebab marah, kesannya kepada anda dan pasangan atau memikirkan perkara lain yang lebih penting untuk diselesaikan.
* Melakukan aktiviti untuk melepaskan tekanan
Emosi marah boleh dibendung jika anda rajin membabitkan diri dengan aktiviti yang dapat melupakan permasalahan dan melakukan perkara digemari. Misalnya, menyanyi, bersukan atau mengunjungi tempat yang menenangkan seperti pantai.
* Belajar menyatakan emosi secara positif dan menghormati pasangan
Kita sering berfikir masih ada hari esok untuk meluahkan perasaan dan selalu bertangguh sedangkan pasangan tidak akan tahu sebab anda marah jika tidak diberitahu.
Justeru, jangan menangguh untuk meluahkan emosi atau perasaan yang terpendam kepada pasangan dengan cara yang sebaiknya tanpa dikuasai perasaan marah.
Luahkan perasaan anda menggunakan suara perlahan, menghormati pasangan dan tidak disertai dengan tindakan secara fizikal seperti memukul.
* Berdiam diri
Cara terbaik untuk mengurangkan kemarahan adalah dengan mendiamkan diri ketika marah bagi mengelakkan perkataan yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut anda.
Banyak faedahnya jika anda berjaya menghayati cara berdiam diri ketika marah malah secara tidak langsung, kaedah ini sebenarnya dapat mengurangkan sikap panas baran.
* Senyum
Senyuman mampu meredakan tekanan. Cuba amalkan memberi senyuman tidak kira kepada sesiapa dan di mana saja kerana ia boleh menjadi penawar kepada kemarahan.
anime4nz : tenangkan hati jangan bertindak sesuka hati agar terpadamnya api.
No comments:
Post a Comment