BAYANGKAN untuk menjadikan rumah kita yang berkeluasan 24x70 kaki sebagai sebuah ‘rumah hijau’ yang mampu menjana, menyimpan dan mengurus tenaga dengan berkesan, kita hanya memerlukan RM100,000.
Kos ini termasuk penyelesaian bekalan tenaga yang menggunakan sistem solar terkini, penyimpanan bekalan tenaga menggunakan bateri litium ion dan peralatan jimat tenaga daripada Panasonic yang mampu mengurangkan penggunaan tenaga berlebihan.
Mungkin bagi yang tidak memahami keperluan penjimatan tenaga akan merasakan jumlah ini terlalu tinggi, bahkan, merasakan ia satu pembaziran. Namun inilah hakikat masa kini untuk kita memasang peralatan dan menggunakan peralatan jimat tenaga.
Ia tidak datang dengan harga murah, malah dengan insentif yang diberikan kerajaan, kos kepada golongan berpendapatan sederhana masih tinggi. Jadi apakah hasrat kerajaan untuk mencapai status negara hijau akan terhasil dek kerana kos yang tinggi ini?