AIR walaupun sangat penting kepada tubuh manusia boleh bertukar racun yang memberi mudarat dengan bermacam cara.
Sebagai contoh, air bersih yang diminum menggunakan bekas plastik yang mengandungi bahan kimia Bisphenol A (BPA) dan Nonyphenol mampu menjejaskan kesihatan bahkan mengganggu sistem hormon.
Profesor Madya Mohamad Pauzi Zakaria dari Jabatan Sains Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, salah satu daripada topik global yang sedang dibincangkan para saintis adalah bahan yang terkandung dalam bekas minuman plastik.
“Terdapat dua jenis bahan di dalamnya iaitu BPA dan Nonylphenol.
“Dua bahan itu digunakan untuk membuat bekas minuman seperti botol susu bayi kerana ia membuatkan plastik menjadi kuat dan tidak rapuh.
“Namun, ia memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia bahkan mampu menukarkan hormon di dalam badan manusia,” katanya.