Seterusnya Dia menyebut pula keadaan orang kafir bersama Rasulullah SAW dengan menjelaskan kesalahan mereka jika mengharapkan syurga yang penuh dengan kenikmatan itu kerana keadaan mereka yang kafir dan ingkar.
Kemudian Allah SWT memberi ancaman dengan kebinasaan itu daripada mereka. Lalu Dia memerintahkan kepada rasul-Nya supaya membiarkan keadaan mereka sehingga hari kebangkitan.
Iaitu pada hari mereka keluar dari kubur dengan cepat seolah-olah hendak menghadap sembahan (berhala dan patung) mereka yang batil itu.
Pada hari itu, pandangan mereka tertunduk dan wajah mereka diliputi kemuraman kerana mereka pasti menerima seksaan Allah SWT tanpa ada jalan lain untuk selamat kerana seksaan itu telah diancam kepada mereka di dunia lagi.
Firman Allah SWT: Mengapakah orang-orang kafir itu bersegera datang ke arahmu. Dari kanan dan dari kiri dengan berkelompok-kelompok. (al-Ma'arij: 36-37)
Ibn al-Jauzi berkata: Ayat ini diturunkan kepada sekumpulan orang kafir yang duduk di sekeliling Rasulullah SAW sambil mengejek al-Quran dan mendustakannya.
Al-Farra' berkata: Mereka membuat beberapa halaqah atau kumpulan yang mana antara kenyataan biadap mereka kalaulah para sahabat dapat masuk syurga seperti kata Muhammad SAW nescaya kami lebih mendahului mereka.
Syed Qutub berkata: Ayat ini secara mengejek menyatakan kehairanan terhadap pergerakan dan perhimpunan mereka yang sedemikian rupa sambil mempersoalkan tujuannya.
Mereka datang dengan langkah yang cepat menuju ke tempat Rasulullah SAW bukan untuk mendengar dan mencari kebenaran tetapi semata-mata menonton dengan perasaan pelik dan aneh.
Selepas itu, mereka bersurai dan berkumpul di pelbagai tempat sambil berbisik dan merancang tindakan jahat untuk menjawab bidasan al-Quran yang didengari mereka.
Firman Allah SWT: Adakah setiap orang dari orang-orang kafir itu ingin masuk ke dalam syurga yang penuh kenikmatan? Sekali-kali tidak! Sesungguhnya kami ciptakan mereka dari apa yang mereka ketahui (air mani). (al-Ma'arij: 38-39)
Al-Sobuni berkata: Persoalan di sini berbentuk pengingkaran berserta menghina dan memalukan mereka. Bagaimana mungkin mereka loba untuk masuk syurga Allah sedangkan mereka kafir dan mendustakan Nabi SAW. Sebaliknya mereka tidak akan masuk selama-lamanya.
Al-Maghari berkata: Apakah mereka yang lari daripada Rasulullah SAW tanpa mengikut kebenaran itu mahu masuk ke dalam syurga-Ku, seperti keadaan orang yang beriman dan takut serta berdoa kepada Tuhan mereka dengan penuh harapan dan cemas? Tidak! Sekali-kali tidak ada harapan malahan mereka ini akan menerima balasan seperti orang yang beriman.
Firman Allah SWT: Maka aku bersumpah dengan Tuhan yang memiliki timur dan barat, sesungguhnya Kami benar-benar Maha Kuasa. Untuk mengganti (mereka) dengan kaum yang lebih baik dari mereka, dan Kami sekali-kali tidak dapat dikalahkan. (al-Ma'arij: 40-41)
Ibn Kathir berkata: Allah ciptakan segala langit dan bumi, menjadikan timur dan barat, begitu juga dengan penciptaan orbit dan bintang yang muncul pada sebelah timurnya dan tenggelam sebelah baratnya.
Kalam ini memberi maksud bukan seperti sangkaan orang kafir yang tiada di sana hari dibangkitkan dan dihimpunkan serta hisab dan pembalasan sebaliknya semua perkara tersebut pasti berlaku dan bukan mustahil.
Al-Maghari berkata: Sesungguhnya orang musyrik itu mempunyai pendapat yang celaru dan bertentangan. Sungguh pelik bilamana mereka mengingkari hari kebangkitan, tetap bercita-cita masuk syurga?
Mengingkari Pencipta
Mereka juga mengingkari al-Khaliq, padahal al-Khaliq itulah yang mencipta mereka pada permulaannya tetapi mereka tidak mengetahui. Dia juga berkuasa untuk menciptakan lagi makhluk yang sama seperti mereka.
Di sini terdapat penghinaan terhadap mereka dan peringatan berhubung dengan perbicaraan mereka yang mengandungi unsur pertentangan.
Ini kerana mereka telah mengejek tentang kedatangan hari kiamat dan cita-cita mereka yang ingin masuk ke syurga merupakan perkara yang tidak diterima akal.
Kemudian Allah menghiburkan hati rasul-Nya terhadap kata-kata dan perbuatan mereka menerusi firman-Nya.
Firman Allah SWT: Maka biarkanlah mereka tenggelam (dalam kebatilan) dan bermain-main sampai mereka menjumpai hari yang diancam kepada mereka. (al-Ma'arij: 42)
Ibn Kathir berkata: Biarkan mereka hai Muhammad yang kafir dalam pendustaan kekufuran dan pengingkaran mereka sehingga datang hari kiamat yang dijanjikan ketika itu mereka akan tahu akibat ingkar mereka dan merasai balasannya.
Al-Maghari berkata: Biarkanlah mereka tenggelam dalam pendustaan dan keingkaran tentang kedatangan hari kebangkitan.
Ini kerana saat itu mereka akan mengetahui kesudahan perbuatan mereka dan akan mengalami seksaan amat dahsyat ketika dihadapkan kepada Allah SWT untuk hisab dan diberi pembalasan.
Dengan kata lain pada hari itu, tanpa memberi syafaat dan penolong. Pada saat itu juga harta dan anak-anak tidak lagi mendatangkan manfaat kecuali orang yang kembali menemui Allah SWT dengan hati yang selamat.
Firman Allah SWT: (iaitu) pada hari mereka keluar dari kubur dengan cepat seakan-akan mereka pergi dengan segera kepada berhala-berhala (sewaktu di dunia). Dalam keadaan mereka menekurkan pandangannya (serta) diliputi kehinaan. Itulah hari yang dahulunya diancam kepada mereka. (al-Ma'arij: 43-44)
Al-Sobuni berkata: Mereka keluar daripada kubur menuju ke mahsyar dengan begitu pantas.
Syed Qutub berkata: Ayat ini memperkecilkan keadaan mereka dan mengancam mereka dengan azab dan keseksaan yang menimbulkan ketakutan.
Mengerikan
Pemandangan pergerakan dan keadaan mereka pada hari itu memang mengerikan. Gaya ungkapan ayat itu sendiri mengandungi ejekan dan penghinaan yang setimpal dengan sifat mereka yang angkuh dan sombong dengan pangkat dan kedudukan mereka.
Mereka yang keluar dari kubur masing-masing berjalan dengan langkah yang cepat seolah-olah hendak pergi ke tempat berhala yang disembah oleh mereka.
Ungkapan ini merupakan suatu ejekan yang sesuai dengan keadaan mereka dalam kehidupan dunia, di mana mereka segera keluar menuju tempat-tempat berhala pada hari kebesaran untuk berkumpul di sekelilingnya.
Pada hari kiamat, mereka akan keluar tergesa-gesa tetapi perbezaan pada hari tersebut sangat jauh berbeza.
Insaflah!
Ayat-ayat yang dibincangkan ini jelas menunjukkan gambaran hari kiamat dan peristiwa ngeri yang terdapat di sana. Begitu juga gambaran tentang keadaan neraka dan azabnya.Ciri-ciri manusia yang melayakkan mereka masuk ke neraka Jahim dan bagaimana manusia berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghilangkan kelemahan yang melingkungi dirinya agar dia dapat menaiki tangga tersebut dan keluar dari alam kebendaannya.
Ancaman buruk terhadap orang kafir yang akan dihadapi oleh mereka pada hari tersebut.
Semoga Allah selamatkan kita daripada kekufuran sehingga melayakkan kita menjadi hamba yang soleh seterusnya dapat menghuni syurga Allah dan selamat daripada neraka-Nya.
No comments:
Post a Comment