Akibat fenomena itu, ramai pihak mengambil mudah dalam soal berkenaan hinggakan ada yang tergamak membuang al-Quran lama di tempat tidak sepatutnya.
Malah, tidak kurang juga pengusaha kedai fotostat membuang kertas mengandungi ayat al-Quran secara mudah dan tidak diuruskan dengan sewajarnya.
Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan kerjasama Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu dan Jabatan Laut Wilayah Timur bersepakat melupuskan al-Quran lama berpandukan garis panduan yang ditetapkan Islam dengan seliaan Jabatan Mufti Negeri Terengganu.
Baru-baru ini, tercatat sejarah apabila lebih 200 kilogram abu al-Quran yang dibakar menggunakan relau (insinerator) direka khas oleh JHEAT menggunakan dram dilupuskan di tengah Laut China Selatan iaitu sembilan batu nautika dari muara Kuala Terengganu di kedalaman 37 meter.
Program Pelupusan al Quran Lama dan Bahan Bercetak Teks al Quran itu yang turut disertai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Muhammad Ramli Nuh dan Ketua Penolong Pesuruhjaya Penyelidikan JHEAT, Mohd Noor Mohamad, dilihat sebagai program yang berjaya dalam membendung orang ramai daripada membuang atau melupuskan al-Quran dengan cara tidak betul.
Muhammad Ramli berkata, dengan penganjuran program seperti itu, orang ramai tiada alasan untuk membuang naskhah al-Quran di merata tempat atau membiarkannya di tempat tidak sepatutnya.