Pada 22 Mei lalu, roket Falcon 9 milik syarikat swasta SpaceX menerbangkan abu mayat 300 individu untuk dibawa ke angkasa lepas. Abu itu disimpan dalam sebuah tabung penyimpanan khusus di seksyen kedua Falcon 9.
Menurut presiden syarikat itu, Gwynne Shotwell, seksyen tersebut dibuang sekitar 10 minit selepas kapal angkasa Dragon yang berisi muatan makanan seberat 454 kilogram (kg) dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dari Cape Canaveral di Florida, Amerika Syarikat (AS).
Abu itu akan kekal di orbit selama kira-kira setahun sebelum jatuh semula ke Bumi.
Apa yang menarik, sebahagian abu tersebut merupakan milik ikon terkenal seperti bekas angkasawan AS, Gordon Cooper, jurutera Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Bob Shrake dan pelakon filem Star Trek, James Doohan.