GELOMBANG fenomena artis luar negara lebih terasa kerana bukan
sekadar menempa nama dalam bidang nyanyian di negara sendiri, malah
menggegarkan industri muzik di seluruh dunia.
Apa sahaja yang dipakai, dilakukan dan dibicarakan pasti ingin
diketahui peminat dan tidak kurang juga yang meniru gaya yang
ditampilkan mereka.
Para figura berikut iaitu Lady Gaga, Justin Bieber, Psy dan
artis-artis K-Pop kini sedang menjadi fenomena global, tidak
terkecuali di Malaysia.
Lady Gaga
Stefani Joanne Angelina Germanotta atau lebih dikenali dengan nama
pentasnya, Lady Gaga menemui kejayaannya yang tersendiri apabila dia
dikenali menerusi penampilan dan cita rasa fesyen yang unik serta
bersifat provokatif.
Antara busana pelik yang pernah disarungkan Gaga merupakan baju yang
diperbuat daripada daging. Dia juga selesa menyarung kasut tumit
tinggi berukuran 10 inci (25 sentimeter).
Sejak awal pembabitannya dalam industri seni, nama Gaga terus
melonjak dan dikenali di seluruh dunia menerusi lagu hit, Born This Way.
Dalam kebanyakan klip video serta kemunculannya menerusi album,
Gaga menampilkan idea pelik serta menggelarkan dirinya sebagai anak
raksasa.