KEBIASAANNYA masyarakat Islam dihidangkan dengan kaedah pengebumian
mayat berpandukan ajaran Islam, tetapi jarang sekali kita didedahkan
dengan kaedah atau teknik betul dalam melupuskan al Quran lama atau
bahan bercetak mengandungi ayat al Quran.
Akibat fenomena itu, ramai pihak mengambil mudah dalam soal berkenaan
hinggakan ada yang tergamak membuang al-Quran lama di tempat tidak
sepatutnya.
Malah, tidak kurang juga pengusaha kedai fotostat membuang kertas
mengandungi ayat al-Quran secara mudah dan tidak diuruskan dengan
sewajarnya.
Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan
kerjasama Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu dan Jabatan Laut
Wilayah Timur bersepakat melupuskan al-Quran lama berpandukan garis
panduan yang ditetapkan Islam dengan seliaan Jabatan Mufti Negeri
Terengganu.
Baru-baru ini, tercatat sejarah apabila lebih 200 kilogram abu
al-Quran yang dibakar menggunakan relau (insinerator) direka khas oleh
JHEAT menggunakan dram dilupuskan di tengah Laut China Selatan iaitu
sembilan batu nautika dari muara Kuala Terengganu di kedalaman 37 meter.
Program Pelupusan al Quran Lama dan Bahan Bercetak Teks al Quran itu
yang turut disertai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan
Penerangan Terengganu, Muhammad Ramli Nuh dan Ketua Penolong Pesuruhjaya
Penyelidikan JHEAT, Mohd Noor Mohamad, dilihat sebagai program yang
berjaya dalam membendung orang ramai daripada membuang atau melupuskan
al-Quran dengan cara tidak betul.
Muhammad Ramli berkata, dengan penganjuran program seperti itu,
orang ramai tiada alasan untuk membuang naskhah al-Quran di merata
tempat atau membiarkannya di tempat tidak sepatutnya.