Penyertaan peneroka Felda dalam pasukan tersebut menambah lagi kekuatannya yang sehingga Disember tahun lalu telah mempunyai sebanyak 222 kompeni merangkumi setiap kawasan parlimen di seluruh negara.
Majlis bersejarah melibatkan kontinjen kawasan Felda Gedangsa, Sungai Tinggi Selatan dan Kampung Soeharto itu dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pada majlis berkenaan, beliau turut memeriksa perbarisan 12 pegawai dan 120 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Mohd. Subhi Marsan.
Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zukifli Zainal Abidin; Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki dan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda, (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail.