SAIDINA Umar al-Khattab berkata:
"Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya." Ia bermaksud proses pendidikan terhadap manusia harus berlaku sesuai dengan perubahan zaman. Memang sifat zaman berubah.
Zaman jahiliah dan zaman Rasulullah SAW adalah tidak sama.
Zaman jahiliah atau zaman kegelapan memperlihatkan gelagat manusia yang tidak dipandu oleh akidah tauhid. Zaman Rasulullah dipandu akidah tauhid. Walaupun manusia daripada keturunan yang sama (Quraisy) tetapi sistem kepercayaan dan cara hidup mereka berbeza.
Hal yang sama berlaku pada zaman sahabat Nabi dan tabien-tabien memberikan asas pengembangan terhadap tapak akidah, ibadah, muamalat dan syariat yang terbina kuat pada zaman Rasulullah.
Zaman Baghdad iaitu di zaman Abasiyah, ilmu pengetahuan menjadi sumber penting kepada perubahan. Zaman Andalusia membawa erti penting dalam tamadun umat Islam, tidak sahaja subur dalam jiwa rohani umatnya tetapi berkembang hingga menghasilkan suatu tamadun contoh.