IBU kota Kuala Lumpur baru-baru ini bertukar menjadi 'medan perang' apabila bandar metropolitan itu 'diserang bertubi-tubi' oleh kereta kebal, kereta perisai, pelancar roket berganda ASTROSS, helikopter peninjau (LOH) dan pelbagai aset tempur Tentera Darat.
Keadaan itu mengejutkan ramai warga kota kerana selama ini, mereka begitu asing dengan deruan helikopter yang terbang rendah, 'serbuan' puluhan kereta kebal PT-91M selain bingit bunyi letupan dan tembakan daripada Unit Anti Keganasan, Grup Gerak Khas (GGK).
'Serbuan' tersebut yang bermula pada pukul 8 pagi hanya berakhir tiga jam kemudian apabila GGK berjaya 'mematahkan' tindakan pihak pengganas menawan sekumpulan rakyat Malaysia di dalam sebuah bas bagi tujuan 'mengugut' kerajaan yang dipilih secara sah.