Buat sekian kalinya kita menyambut Hari Maulidur Rasul yang diraikan pada 12 Rabiulawal. Kita menyambutnya untuk mengingati seorang pemimpin agung, seorang mahaguru hebat, malah seorang insan yang sewajarnya mendapat tempat di hati kita sebagai idola di sepanjang hayat.
Dalam pada kita mengingati kelahiran baginda, tulisan ulama-ulama muktabar mencatatkan bahawa Rasulullah s.a.w juga wafat pada bulan Rabiulawal. Malah, buku The Sealed Nectar terjemahan dari Ar Raheequl Makhtum, penulisnya Saifur Rahman Al-Mubarakpuri menulis, baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12 Rabiulawal juga.